KEBERKAHAN YANG TIADA AKHIR

'

Jumat, 16 Desember 2011

SHALAWAT KEPADA RASULULLAH S.A.W



Sufyan As-Sauri RA bercerita :

Ketika bertawaf mengelilingi Kaabah, aku melihat seorang lelaki. Setiap kali dia melangkah, dia terus bershalawat kepada Rasulullah s.a.w. Aku berasa heran apabila melihat keadaan itu. Aku mendekatinya dan bertanya, “Mengapa engkau meninggalkan bacaan tasbih, tahmid dan tahlil tetapi hanya membaca shalawat saja? Apakah ada sesuatu yang terjadi kepada dirimu?”
“Tuan ini siapa? Moga-moga Allah s.w.t merahmatimu,” kata lelaki tersebut
“Namaku Sufyan As-Sauri,” jawabku.

“Sekiranya tuan ini bukan seorang yang ‘Arif pada zaman ini, tentulah aku tidak akan mempedulikan kata-katamu itu. tetapi lantaran tuan ini seorang yang ‘Arif, dan mungkin rahsia ini masih belum tuan ketahui, aku akan memberitahu tuan rahasiaku ini,” jawab lelaki itu.
“Baiklah, dengarlah ceritaku ini,” sambungnya lagi.

Aku meninggalkan negeriku bersama-sama ayahku pergi mengerjakan ibadah haji ke Baitullah al-haram, kemudian kami menziarahi maqam Rasulullah s.a.w. Kami tidak lupa berselawat dan salam ke atas junjungan baginda. Ketika di pertengahan jalan, ayahku tiba-tiba jatuh sakit. Sakitnya terlalu kronik. Aku berusaha merawat dan menjaganya dengan sepenuh kemampuanku. Namun, semuanya sia-sia kerana ayahku tidak dapat dirawat lagi dan akhirnya meninggal dunia.

Aku sangat sedih di atas kepergiannya. Namun, apa yang membuat hatiku bertambah sedih ialah keadaan wajah ayahku yang asalnya tampan bercahaya berubah menjadi hitam legam dan begitu menakutkan. Aku sangat terkejut melihat keadaan tersebut. Lalu, aku menangis sambil mengambil kain untuk menutup wajahnya. Sungguh tidak terbayang kesedihan yang kutanggung ketika menyaksikan keadaan ayahku yang begitu rupa. Lebih-lebih lagi dia meninggal dunia di tempat orang. Betapa malunya jika ada orang yang mengetahui keadaan ayahku saat itu. apa lagi ayahku sendiri merupakan ahli ibadah.

Aku terus menunggu dengan perasaan hati yang hancur. Aku hanya mampu menangis dan tidak mampu berbuat apa-apa. Aku terus bertafakur di sisi kepala ayahku. Tiba-tiba aku tertidur dan bermimpi seakan-akan melihat sinar yang semakin mendekati tempatku. Ternyata sinar itu bersumber daripada seorang lelaki yang sangat gagah dan tampan. Pakaiannya bersih, wajahnya bersinar terang, dan baunya harum sekali. Aku tidak pernah melihatnya sebelum ini, dan aku belum mengenalinya.

Dia terus menuju kepadaku. Satu-satu jalannya sehingga dia berada di sisiku.
“Apa yang terjadi kepada dirimu?” dia bertanya.
“Ayahku telah meninggal dunia,” aku menangis. Belum sempat aku bercerita seterusnya, dia berkata, “Janganlah menangis! Semua pasti mati!”
“Tetapi wajahnya...”kataku. “Wajahnya hitam legam. Tolonglah aku!”aku merayu-rayu mengharapkan bantuan.

Tanpa berkata apa-apa, dia terus membuka kain yang menutup wajah ayahku itu, lalu mengusapkan telapak tangannya pada wajah ayahku. Ajaib sekali! Aku hampir tidak percaya apa yang terjadi. Wajah ayahku kembali putih bersih, dan lebih bercahaya dari asalnya. Apakah sebabnya?

Dia kemudian mengambil kain tadi dan menutup semula wajah ayahku kembali. Kemudian dia hendak kembali dari arah dia datang.
Melihat dia mau pergi, dan aku belum tahu lagi siapakah dirinya yang sebenarnya, aku segera memegang bajunya sambil bertanya, “Siapakah tuan yang telah menolong ayahku ini?”
Dia tersenyum, kelihatan nur bersinar daripada senyumannya. Wajahnya seperti bulan purnama.
“Aku ini Muhammad,” dia menjawab.
“Muhammad?” aku meminta penjelasan yang lebih jelas.
“Muhammad, Rasulullah. Akulah pembawa Al-Quran,” dia menjelaskan.

Aku terduduk dan terpesona sambil menikmati wajahnya yang mulia itu. “Inilah dia Rasulullah s.a.w,” aku berkata dalam hatiku. Lisanku kelu, tidak berkata apa pun.

“Ayahmu ini terlalu banyak membuat hal-hal yang sia-sia dalam hidupnya. Namun begitu, dia selalu bershalawat dan salam kepadaku. Ketika dia mengalami hal buruk seperti ini, dia memohon kepadaku untuk membantunya. Sebab itu aku datang ke mari untuk membantunya, dan aku selalu menolong orang yang selalu membaca shalawat dan salam kepadaku,” jelas baginda.

Pada saat itulah aku terbangun dari mimpiku itu, dan terus teringat apa yang terjadi dalam mimpi itu tadi. Aku terus membuka kain yang menutupi wajah ayahku, dan betullah seperti yang terjadi dalam mimpiku tadi. Wajah ayahku telah kembali putih bersih dan lebih bercahaya dari sebelumnya.

Aku termenung mengingatkan apa yang terjadi dalam mimpi itu. Aku berkata dalam hati, “Mengapa tidak lebih lama mimpiku tadi supaya aku berada lebih lama di samping manusia utama yang amat mulia itu. Oh!”

“Inilah kisahnya, wahai Sufyan As-Sauri! Sekarang engkau sudah tahu rahasia mengapa aku terus bershalawat ke atas Nabi s.a.w setiap kali aku melangkah. Aku akan terus bershalawat ke atasnya sebanyak yang aku mampu. Moga-moga aku mendapat pertolongannya pada suatu hari nanti,di dunia mahupun di akhirat,” lelaki itu menjelaskan kepada Sufyan As-Sauri, lalu dia pun berjalan meneruskan tawafnya, sedang lisannya tidak berhenti daripada menyebut shalawat dan salam ke atas baginda s.a.w.

Semoga kita mendapat iktibar dan manfaat daripada kisah tersebut. Maka, perbanyakkanlah bershalawat dan salam ke atas junjungan agung Nabi Muhammad s.a.w. sMoga kita semua memperoleh syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

Allahumma solli 'ala muhammad wa 'ala ali muhammad.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar